Friday, August 31, 2012

SYAWAL aka WAWAL (Kes FIP)

Ketika salah seorang SCRATCHer kami, Cik F berbuka puasa di rumah neneknya di Klang, beliau ditemukan dengan kucing malang ini.

Kucing ini kucing jantan. Bukan buncit disebabkan bunting. 







Melihat keadaannya begitu, Cik F meminta pendapat rakan-rakan SCRATCH yang lain. Setelah berbincang, Cik F membawa kucing ini ke Klinik Haiwan Port Dickson pada 28 Julai 2012 yang lalu. . 


 

 


 Doktor yang merawat pun terkejut melihat keadaan kucing ini setibanya Cik F di sana.







Perutnya yang sangat besar menyebabkan ia sukar bergerak.






Beginilah rupa cecair yang dikeluarkan oleh Doktor Emi. Sebanyak 7 dulang air kuning ini berjaya dikeluarkan. Gambar di bawah pula ialah gambar kucing ini selepas cecair tersebut dikeluarkan.



Setelah diperiksa, Dr Emi mengesahkan kucing ini mengidap WET FIP, penyakit yang paling ditakuti oleh semua penyelamat dan pemilik haiwan kerana tiada ubat dan rawatan. Tiada vaksin untuk menghalang FIP dari menyerang kucing-kucing peliharaan kita, malah sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan . 

Mana-mana doktor yang merawat pun akan mencadangkan agar kucing FIP dimatikan (Put To Sleep), kerana risikonya yang sangat merbahaya kepada kucing-kucing lain termasuk kucing-kucing lain yang dirawat di klinik ini.

Dr Emi dengan baik hati telah membenarkan kucing ini diwadkan sementara di klinik beliau sementara kami berbincang mengenai keputusan yang perlu di ambil untuk kucing malang ini. 





Semasa perbincangan, seorang ahli SCRATCH, Ayie (beliau merupakan fosterer anak-anak kucing untuk Adoption Drive) telah menawarkan diri untuk menjaga kucing ini memandangkan jangkahayat kucing FIP tidak lama dan beliau tak sanggup melihat mana-mana kucing yang diselamatkan dimatikan begitu sahaja.

Setelah berbincang, kami akhirnya setuju untuk membenarkan Ayie menjaga kucing malang ini, dengan syarat beliau tidak boleh foster mana-mana kucing sekurang-kurangnya 3-4 bulan selepas ketiadaan kucing ini untuk memastikan tempat beliau bebas dari virus FIP.Ayie juga perlu menjaga langkah-langkah keselamatan ketika mengendalikan kucing ini memandangkan beliau juga merupakan feeder kucing jalanan di kawasan tempat tinggal beliau dan boleh merisikokan nyawa haiwan jalanan yang lain. 

Maka pada 30 Julai 2012, Ayie dan Cik F telah ke Port Dickson semula. Dr Emi telah mengajarkan cara-cara mengeluarkn lebihan cecair dari dalam badan kucing malang ini. 



Ayie telah dibekalkan dengan segala keperluan untuk kucing ini. 


Kucing ini telah diberikan nama SYAWAL oleh Ayie dan Cik F, dengan harapan ia mampu bertahan sehingga Hari Raya atau lebih lama dari itu. 

Ini gambar-gambar SYAWAL setelah cecair diluarkan. SYAWAL sangat-sangat kurus sebenarnya.




Setiap kali proses mengeluarkan cecair ini, Ayie perlu menyedut lebih kurang 200ml cecair pada badan SYAWAL. 




Ini gambar-gambar SYAWAL dalam jagaan Ayie. 






 


SYAWAL sangat manja dan suka dibelai.

Tak tahu berapa lama lagi masa yang ada untuk SYAWAL, namun kami sangat berterima kasih kepada Ayie kerana memberi peluang SYAWAL menikmati kasih sayang dan belaian.






Kesemua bil rawatan SYAWAL di tanggung oleh Dana SCRATCH. 

Kami mendoakan agar SYAWAL terus kuat dan bertabah. Amin...

Thursday, August 23, 2012

GINGER (Nur Irdina Afiqah Sabri)

Nur Irdina Afiqah telah menghantar gambar kucing yang patah rahang ini pada 5 Ogos lepas. Menurut Irdina, kucing ini sedang di rawat di St Angel Animal Medical Center, Seri Kembangan dan baru menjalani pembedahan kelmarin. Kucing ini diberi nama GINGER.

salam 1 malaysia, saya menemui seekor anak kucing yang kira-kira 6-9 bulan di tepi jalan. saya menemuinya dengan keadaan yang teruk sekali. rahangnya patah dan tidak boleh makan atau minum. saya berasa sangat simpati keatasnya. lalu saya mengambilnya dan memberikannya makanan lembut tetapi dia tetap tidak boleh makan tanpa disuap atau dibantu. saya memohon bantuan daripada S.C.R.A.T.C.H. saya sgt berharap supaya S.C.R.A.T.C.H. dapat membantunya. ibu saya tidak mampu mahu membayar kos pembedahannya.
thank you
-------------------

mak saya dah bawak jumpa Dr.
Anggaran kos rawatan tu rm800-900. saya ada ambil gambar masa dia di klinik tu. saya namakan dia ginger sebab colour dia oren. skrg dia di klinik dr kata selama seminggu.
------------------

Dina



Vet menganggarkan kos rawatan GINGER RM800-900. Irdina Afiqah memohon bantuan subsidi daripada kami.

Kami bersetuju membiayai kos perubatan Ginger dan sedang menunggu update dari Irdina. Kami juga menyarankan agar beliau memohon kepada My Animal Care sekiranya kos rawatan melebihi RM750.

Kami mendoakan agar si GINGER selamat menjalani pembedahan dan cepat sembuh.

KELABU Kucing Hernia (Nadzirah Yusop)

Isnin, 20 Ogos 2012 - 10.24pm
Assalamualaikum, 3 hari yg lepas ada seekor kucing jantan takdela besar sgt. sederhana je size die dan masih boleh dipanggil kitten telah datang kerumah saya dalam keadaan sangat lemah. saya dapati perut dia sangat kempis tetapi kaki dia jadi besar dan membuatkannya sukar untuk berjalan. dia tak mau makan dan minum selama 3 hari. mungkin kitten ini mengalami masalah organ dalaman lalu saya pun bawa dia ke vet.

vet mengatakan kitten ini memerlukan pembedahan kerana perut dia telah koyak dan usus dia telah jatuh dekat kaki dia. sebab itu perot jadi kempis dan kaki jadi besar. dan mungkin usus die akan tebelit jika menangguhkan pembedahan dan akan mati perlahan lahan kerana tidak dapat makan dan minum. vet kata punca tejadinya begini mungkin ada orang telah menendang kitten tersebut dgn kuat di bahagian perut. :'( kos pembedahan tersebut sebanyak RM350. saya ini bukanlah dr keluarga yang kaya untuk menanggung kos tersebut. tetapi keadaan kucing tersebut membuatkan saya tidak sampai hati untuk membiarkan beliau.

saya menamakan kitten tersebut 'kelabu'. saya mengharapkan sedikit bantuan dari pihak ktaj untuk menyelamatkan kelabu. disini saya sertakan gambar kelabu dr mula2 dia dtg kerumah saya dan gmbar saya bawa kelabu ke vet. terima kasih.

Nadzirah Yusop



 
 
 
KELABU di rawat di Reliance Vet Clinic & Surgery di Kajang dan pembedahan dijalankan untuk membetulkan 'inguinal hernia'nya. 
 
Ini gambar-gambar yang emailkan oleh Nadzirah selesai pembedahan.


 
 
 
 
 
 
 
 
Kos rawatan KELABU ialah RM375 dan vet yang merawat memberikan diskaun RM75 kepada Nadzirah. SCRATCH akan membiayai 50% daripada kos yang perlu dibayar oleh Nadzirah.
 
Terima kasih kepada Nadzirah kerana memberi rawatan sewajarnya kepada KELABU. Keluarga Nazirah turut membina sangkar khas untuk KELABU memandangkan ia perlu di kurung sehingga benar-benar sembuh dan bagi mengelakkan hernia berulang kembali.
 
Apabila sudah sembuh, KELABU akan dilepaskan ke kawasan asal sebagai kucing komuniti dan dipantau oleh keluarga Nadzirah. 


Si SANGGUL (Deedee Ibrahim)

Gambar Si SANGGUL pernah kami kongsikan di page Kucing Terbiar & Anjing Jalanan di Facebook pada 5 Mac 2012 yang lalu.




Menurut Deedee, ayah dan ibunya mendapati ada seekor kucing di hadapan rumah mereka di Johor Bahru setelah pulang dari bersembahyang Subuh di masjid. Kucing betina yang di namakan Si SANGGUL ini ditemui berdarah-darah dengan kedua-dua belah kaki yang hancur, kemungkinan di gilis kenderaan berat.





SANGGUL kemudian di bawa ke Klinik Dr Koh untuk menjalani pembedahan membuang kakinya yang hancur, sekaligus di mandulkan.






Kos pembedahan SANGGUL dibiayai sendiri oleh keluarga Deedee.

SANGGUL mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dengan kecacatannya. Sesekali luka pada kakinya berdarah kembali akibat banyak bergerak dan mengesot ke sana kemari.









Ini pula gambar terbaru SANGGUL yang kami terima pada Hari Raya baru-baru ini.

Setelah hampir setengah tahun kejadian tersebut , SANGGUL kini nampak sihat dan gebu. Meskipun kecacatannya kekal, namun SANGGUL bukan lagi kucing jalanan, malah dijaga dengan baik di rumah keluarga Deedee dan disayangi seperti kucing-kucing yang sempurna.




Terima kasih kepada pakcik dan makcik sekeluarga yang telah menyelamatkan SANGGUL. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa baik kalian. InsyAllah :)

Thursday, August 16, 2012

SPEUTERING DAY 2012 : KAMPAR, PERAK

PROGRAM PEMANDULAN HAIWAN PELIHARAAN 
PADA HARGA MURAH KEMBALI! 
 KINI DI KAMPAR PERAK!


PROGRAM SEHARI ini dibuka untuk memandulkan haiwan peliharaan anda pada kos murah bersempena pembukaan KLINIK HAIWAN KAMPAR, Perak. 


Gambar kredit kepada Hwee San Tan

Matlamat kami ialah mengurangkan populasi haiwan jalanan dengan menyediakan program pemandulan murah kepada pemilik-pemilik haiwan. Ini bertujuan mengelakkan haiwan peliharaan daripada membiak tanpa kawalan dan menjadi mangsa dibuang oleh pemilik-pemilik asal.

Tarikh : Ahad, 2 September 2012 & 30 September 2012
Lokasi : Klinik Haiwan Kampar, No 6 Jalan Siswa, Taman Kampar Siswa, 31900 Kampar, Perak.
No Tel : 019-7921377
Jantan : RM60
Betina : RM85 

PROMOSI LAIN:
A) Vaksinasi dan nyahcacing = RM30
B) Nyahkutu spot on = RM25
c) Pemeriksaan kesihatan dan consultation = RM20
D) Diskaun sehingga 15% untuk barangan yang dibeli di klinik ini.

Untuk mendaftar, emailkan ke ktaj0311@gmail.com [Subjek : CSD Kampar] bersama butiran lengkap di bawah :

1) Nama pemilik, no KP dan no telefon bimbit.
2) Gambar kucing yang ingin dimandulkan, nama, umur, jantina dan baka. Sila beritahu kami sekiranya kucing ini belum pernah di vaksin.

Sila sebarkan program ini kepada rakan-rakan pemilik haiwan yang lain.


TERMA DAN SYARAT PEMANDULAN


1. TERHAD KEPADA BAKA DOMESTIK : Kucing kampung bulu pendek (DLH), kacukan bulu panjang (DLH) atau kacukan siam saja yang dibenarkan. Kucing baka exotic dan baka asli seperti Bengal, Persian dan Flat Face akan dicaj pada kadar biasa : RM80 untuk jantan & RM130 untuk betina.

2. Kucing yang ingin dimandulkan perlu mencapai umur 4 bulan dan ke atas bagi betina, dan 5 bulan ke atas bagi jantan. Berat kucing tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 1.5kg dan TIDAK melebihi 4.5kg.

3. Semua sesi pemandulan perlu menepati tarikh dan masa yang SCRATCH tetapkan. Anda perlu membawa sendiri kucing² yang ingin dimandulkan ke klinik yang telah kami nyatakan.

4. Kucing berada dalam keadaan sihat dan TIDAK bunting.

5. Kucing yang ingin dimandulkan perlu dipuasakan 12 jam SEBELUM pembedahan.

6. Semua kucing yang dimandulkan perlu di bawa pulang pada hari yang sama. Caj di atas tidak termasuk kos boarding.

7. Kucing² yang dimandulkan perlu di kurung sekurangnya 5 hari untuk kucing jantan dan 7 hari untuk kucing betina untuk memastikan luka pembedahan kering dan sembuh sepenuhnya sebelum di lepaskan semula ke tempat asal / diserahkan kepada tuan baru.

8. Sekiranya berlaku komplikasi selepas pembedahan, sila beritahu kami dan bawa kucing tersebut ke klinik ini semula.

9. Sila pantau kucing² yang telah dimandulkan dari masa ke semasa.

*Bagi setiap kucing yang dimandulkan dalam program ini, RM5 akan disalurkan ke Dana SCRATCH.


HENTIKAN PEMBUANGAN HAIWAN YANG TIDAK BERDOSA.
MANDULKAN HAIWAN KESAYANGAN ANDA HARI INI!

Tuesday, August 14, 2012

Subsidi Pemandulan di KKS 11 Ogos 2012

8 ekor kucing, 5 ekor betina dan 3 ekor jantan telah didaftarkan untuk dimandulkan pada 11 Ogos 2012. 

Walau bagaimanapun, seekor kucing betina tak dapat hadir kerana adopter ada kecemasan dan perlu pulang ke kampung.


1) Nurhuda Jamaluddin - 2 kucing betina + 2 kucing jantan

Nurhuda mendaftar untuk 3 ekor kucing betina dan seekor kucing jantan. Tetapi kucing betina tersebut melarikan diri pada waktu subuh dan segera digantikan dengan kucing jantan yang lain. 

*Kucing yang digantikan perlu di puasakan juga sekurangnya 8-10 jam sebelum pembedahan untuk mengelakkan komplikasi. 









2) Nadiah bersama JOY, kucing betina yang menjalani pembedahan membuang matanya yang rosak menggunakan Subsidi Perubatan dari Dana SCRATCH.
JOY selamat dimandulkan dan akan diserahkan kepada adopter baru selepas  Hari Raya. 



2) Muhamad Razeef Che Shamah - 1 jantan + 1 betina, kucing yang di adopt oleh beliau dari KTAJ ONLINE ADOPTION HOUSE.



Razeef mempunyai 25 ekor kucing di rumah. Pada hari yang sama kami mengadakan subsidi pemandulan di KKS, ada seorang nenek yang membawa 9 ekor anak kucing untuk diserahkan kepada pihak DBKL. Alasannya, bilik yang digunakan untuk menyimpan kucing-kucing ini sudah ada penyewa. Mungkin nenek tersebut tidak mengetahui tentang polisi 'PTS' di DBKL. 
Razeef telah mengambil kesemua 9 ekor anak-anak kucing tersebut. Kesemua anak kucing tersebut sihat, cuma ada kutu dan perlu dibersihkan. Kucing-kucing ini akan dimandulkan dan dicarikan tuan baru kelak dan kesemua pemandulan kucing-kucing ini akan dibiayai oleh Dana SCRATCH. 

Jumlah subsidi yang kami keluarkan pada 11 Ogos 2012 untuk membiayai pemandulan ini ialah RM430. 




Saturday, August 11, 2012

Si KENIT Anak Kucing Kecacingan (Chyno Radzi)

Kami menerima email pada 16 Julai yang lalu bersama gambar-gambar di bawah.

Penghantar email hanya dikenali sebagai Chyno Radzi.

Menurut Chyno, dia pernah melihat anak kucing ini dilanggar sebuah Avanza pada 5 Julai 2012 yang lalu. Chyno membawa anak kucing ini ke klinik veterinar di Kuala Kangsar Perak, namun doktor yang merawat tidak dapat mengenalpasti masalah kucing ini.

Anak kucing ini terbaring lemah 2 hari setelah dilanggar. Dan kembali sembuh pada hari ketiga.




Namun ada sesuatu yang terkeluar dari dubur anak kucing ini.




Menurut Chyno, semenjak itu anak kucing ini makan banyak dari biasa dan membuang banyak dari biasa dan mengotorkan bahagian punggungnya (cirit-birit)






Mendengar penjelasan Chyno, kami mengesyaki anak kucing ini kecacingan dan memintanya membawa ke klinik haiwan dengan segera.

Ini gambar terbaru anak kucing ini yang kami terima daripada 27 Julai 2012.


 
Perutnya masih buncit meskipun Chyno memberitahu kami dia telah membawa kucing ini mendapatkan ubat cacing.

Kami akan update lagi perkembangan anak kucing ini sekiranya menerima berita terbaru dari Chyno.

Kepada pemilik haiwan yang belum menyahcacing kucing mereka, tanda-tanda kecacingan yang perlu dikenalpasti ialah perut buncit dan cirit-birit. Sekiranya dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan, ia mampu mengancam nyawa kucing kesayangan anda.