Sunday, January 15, 2012

Pengkasian & Pemandulan

Kenapa saya perlu mengkasikan/memandulkan haiwan peliharaan saya?

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, setiap hari lebih kurang 70,000 ekor anjing dan kucing dilahirkan. Tetapi cuma sebahagian sahaja daripada jumlah tersebut yang mendapat penjagaan dan perlindungan dari keluarga yang penyayang. Berdasarkan statistik juga, 4 sehingga 6 juta kucing dan anjing di-PTS (put to sleep) kerana tiada tempat untuk mereka di pusat-pusat perlindungan haiwan.

Seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat, begitulah juga keadaannya di Malaysia. Lebih menyayatkan hati apabila haiwan-haiwan jalanan diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh manusia-manusia durjana kemudian tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya. Di Malaysia, penderaan dan penyeksaan haiwan tidak dipandang serius di negara kita. Ini kerana walaupun setelah 54 tahun kita merdeka, Akta Haiwan 1953 masih diguna pakai. Akta Haiwan 1953 menyatakan pesalah laku jenayah terhadap haiwan akan dikenakan hukuman denda maksimum berjumlah RM200 atau penjara tidak melebihi 6 bulan.



Justeru itu, pengkasian atau pemandulan kucing dan anjing adalah langkah yang terbaik untuk mengurangkan pembuangan kucing dan anjing yang berleluasa, secara tidak langsung mengelakkan haiwan-haiwan ini daripada menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan.



Persepsi dan tanggapan streotaip pemilik haiwan peliharaan dan penjelasan:

Masih ada umat Islam yang ragu-ragu untuk memandulkan haiwan kesayangan mereka. Antara sebab dan alasan yang diberikan adalah seperti takut berdosa menyekat nafsu haiwan tersebut, takut menganiaya naluri haiwan kesayangan mereka, takut sekiranya ia menyakitkan haiwan peliharaan mereka, dan sebagainya.

Jika begitu, bagaimana pula dengan dosa membuang anak-anak kucing yang masih kecil ke jalanan? Dicampak? Dibuang di dalam karung guni? Kemudian sekiranya mereka menjadi mangsa lenyekan tayar kereta? Dan lebih buruk, menjadi mangsa pijak,tendang dan pukul manusia yang tidak berperikemanusiaan? Fikirkan.

Di sini dipetik dari hujah Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin(anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi) :

Maksudnya: “Adapun mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahah, akan tetapi mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.” (Liqa al-Bab al-Maftuh 15/37).

Kemudian beliau menyentuh tentang pengkasian/pemandulan kucing:

Maksudnya: “Jika kucing itu banyak (jumlahnya) dan menyusahkan, dan proses mengkasinya tidak memudharatkannya, tidak mengapa, kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik dari membunuhnya selepas ia Allah menciptakannya.. adapun jika jumlah kucing itu tidak banyak (jumlah yang biasa) dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan dia berkembang (membiak) itu adalah lebih baik.” (Fatawa Islamiyah 4/448)


Selain daripada itu beliau yang juga pakar dalam ilmu fiqh menjelaskan "Jika pembedahan tersebut tidak mencederakan binatang maka tidaklah ia di halang, kerana sesungguhnya lebih aula (baik) dari membunuh binatang tersebut setelah ia tercipta".

Jakim juga ada mengeluarkan satu ketetapan pada tahun 2002 yang menyatakan : Bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah.

Maka dengan sokongan ketetapan dari Jakim dan penyataan yang dikeluarkan oleh anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, sudah jelas di sini bahawa memandulkan atau mengkasikan haiwan peliharaan tidak salah atas sebab untuk memberi kemudahan kepada pemilik haiwan menguruskan haiwan peliharaan tersebut asalkan cara yang digunakan tidak menyakitkan serta memudaratkannya.


Kelebihan memandulkan haiwan peliharaan:

Terdapat tiga golongan yang mendapat kebaikan daripada pemandulan/pengkasian haiwan peliharaan, iaitu pemilik haiwan, haiwan peliharaan dan komuniti setempat.


Kebaikan kepada pemilik haiwan:

- ♦ Haiwan peliharaan yang dikasi/dimandulkan menjadi lebih manja

- ♦ Kucing jantan yang dikasikan akan kurang kencing memancut merata-rata.

- ♦ Haiwan yang telah dikasi/dimandulkan akan kurang menggigit dan agresif.

Kebaikan kepada haiwan peliharaan:

- ♦ Haiwan peliharaan yang dikasikan/dimandulkan hidup lebih sihat tanpa risiko kanser prostat dan ovari, dijangkiti penyakit kelamin dan kanser payudara.

- ♦ Haiwan peliharaan yang dikasi akan kurang keluar merayau keluar rumah dan bergaduh dengan kucing-kucing lain.

Kebaikan kepada komuniti sekitar:

- ♦ kebersihan dikawasan kejiranan lebih terjamin kerana pembiakan kucing/anjing yang terkawal.

- ♦ Pusat perlindungan haiwan terbiar akan lebih terurus dan akhirnya tiada haiwan yang perlu di-PTS kerana kekurangan ruang untuk mereka di pusat perlindungan haiwan tersebut.



Apa itu ‘spay’ & ‘neuter’?

‘Spay’ adalah terma lain untuk pemandulan dimana ia melibatkan pembedahan untuk membuang organ pembiakan haiwan peliharaan betina seperti uterus, tiub falapio dan ovari.

‘Neuter’ pula adalah terma lain untuk pengkasian dimana pembedahan dilakukan untuk membuang organ testikel bagi haiwan peliharaan jantan.


Bila usia yang sesuai untuk memandulkan/mengkasikan haiwan peliharaan?

Kucing dan anjing boleh dimandulkan/dikasikan seawal usia 6 bulan. Ada beberapa buah tempat yang menjalankan pengkasian seawall usia 4 bulan, tetapi waktu yang paling sesuai ialah 6 bulan.

Bagaimana ‘spay’ dan ‘neuter’ dilakukan?

Kucing dan anjing boleh dikasi/dimandulkan seawall usia 6 bulan. Haiwan-haiwan ini akan melalui pembedahan setelah diberi suntikan pelalian(anestetik).

‘Spaying’ (pemandulan)kucing betina:

  1. Kucing akan diberi pelali atau anestetik dan dibiarkan supaya tidak sedarkan diri. Kemudian kucing tersebut akan dibaringkan menelentang untuk mendedahkan perut dimana belahan akan dibuat.
  2. Setelah itu belahan akan dibuat pada bahagian yang dipanggil ‘linea alba’ dimana kurang pendarahan berlaku kerana tiada saluran darah dan saraf dikawasan tersebut. Terlebih dahulu, bius disuntik pada kawasan yang akan dibelah.
  3. Selepas belahan dibuat, organ peranakan yang dikenali sebagai ‘uterus horn’ (terdiri daripada ovary dan sebahagian tiub fallapio) dicari kemudian diikat dan dipotong
  4. Apabila sudah diikat dan dipotong, belahan yang terbuka tadi dijahit semula.


‘Neutering’ (pengkasian)kucing jantan:

  1. Sepertimana kucing betina, kucing jantan juga diberi pelali dan dibiarkan supaya tidak sedarkan diri. Bius juga disuntik terlebih dahulu.
  2. Kemudian skrotum di cukur dan dibersihkan dengan alkohol.
  3. Setelah dicukur dan dibersihkan, skrotum akan dibelah untuk mengeluarkan testikel.
  4. Selepas itu spermatic chord diikat kemudian testikel akan dipotong dan dipisahkan daripada spermatic chord. Langkah ini dilakukan pada kedua-dua belah testikel.
  5. Selesai dipotong kulit skrotum yang dibelah tadi akan ditutup semula.

Sebelum haiwan peliharaan anda melalui proses pemandulan/pengkasian ini, anda terlebih dahulu dinasihatkan supaya:

  1. Memvaksinkan mereka sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dioperasi.
  2. Haiwan peliharaan tersebut mestilah dipuasakan 12 jam tanpa makanan dan diletakkan di dalam sangkar atau di dalam rumah. Hanya air sahaja boleh diberi kepada haiwan tersebut.

Selepas haiwan peliharaan melalui proses pemandulan/pengkasian, haiwan tersebut hendaklah:

  1. Dipantau supaya tidak menjilat bahagian yang telah dijahit. Ini kerana air liur haiwan mempunyai banyak bacteria dan kuman. Apabila bahagian yang dijahit dijilat, ia boleh mengakibatkan jangkitan dan nanah pada bahagian tersebut.
  2. Dijaga supaya tidak terlalu aktif seperti belari, memanjat, melompat selama 10 hingga 14 hari selepas pembedahan. Haiwan peliharaan yang baru dimandulkan perlu dipantau aktivitinya selalu dan diletakkan didalam rumah sepanjang tempoh pemulihan. Aktiviti yang agressif boleh menghalang proses pemulihannya.
  3. Jangan mandikan haiwan tersebut sepanjang tempoh pemulihan iaitu 10 hingga 14 hari selepas pembedahan.


SOALAN LAZIM:

  1. Kucing akan menjadi gemuk dan obes selepas pemandulan?

Jawapan: Semuanya bergantung kepada pemakanan dan senaman. Kawal pemakanan kucing anda dan berikan ia permainan yang boleh menggalakkan dia melakukan aktiviti-aktiviti terkawal seperti bermain sembunyi, menangkap dan sebagainya.

  1. Adakah kucing akan berhenti ‘memancut’ setelah dikasikan?

Jawapan: Ia tidak akan serta merta berhenti memancut, tetapi lama-kelamaan dia akan kurang berbuat demikian. Jika ia terus memancut dengan kerap, kemungkinan kucing tersebut mempunyai masalah yang lain(sikap atau sebagainya).


Pemandulan dan pengkasian melibatkan proses pembedahan yang mudah dan ringkas. Ia tidak menyeksa haiwan kesayangan malah sebaliknya,ia memberi banyak manfaat kepada pemilik haiwan, haiwan itu sendiri dan komuniti sekitarnya. Oleh itu diharap dengan penjelasan yang diberi ramai pemilik haiwan yang bertanggungjawab mengkasi/memandulkan haiwan mereka dengan segera.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi mana-mana doctor veterinar yang berdekatan.


Disediakan Oleh : Zetty Abdillah

Sumber:

http://just-catz.blogspot.com/2010/08/pandangan-ulama-muktabar-tentang-hukum.html

http://www.hishammarmin.com/2011/02/hukum-mandulkan-kucing.html

http://www.doghause.com/spay.asp

http://hidayatmy.blogspot.com/2011/07/pengkasian-kucing-jantan-castration.html

http://hidayatmy.blogspot.com/2011/07/video-pengkasian-kucing-betina-spaying.html

http://willamettehumane.org/animal/shelter/clinic/post-operative_instructions/

7 comments:

  1. This is a very good article for new mamacats and papacats. keep the great tips coming. TQ

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. bagaimana pulak kalau kucing betina dah bunting 2 kali, boleh ke kalau kita nak mandulkan dia?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh. Tunggu anak2 dah pandai makan sendiri. 2 or 3 months old

      Delete
  4. Terima kasih atas maklumat yang bermanfaat . :)

    ReplyDelete
  5. Saya telah mandulkan kucing jantan saya kira kira sebulan yang lepas. Tapi perangai dia jadi lebih aggesif dan aktif, suka mengigit dan sombong. Dulu dia lebih manja dari sekarang. Kenapa ye?

    ReplyDelete
  6. Tumpang tny. sy telah neuter 2nekor kucing jantan sy . Seekor testikal nmpk mengecil. tetapi lagi seekor selepas sebulan telur belah kanan seakan membengkak n mengeras. sebelum ini pernah berdarah. sudah bwak ke klinikm tapi doctor vet kata tiada apa.

    ReplyDelete