Monday, January 30, 2012

Adoption : Cici and kittens (Huda Ismail)

Ingat lagi tak pada CICI, ibu kucing yang sarat mengandung dan diracun?

Cici selamat melahirkan 2 anak kucing yang sangat comel dan ketiga-tiga kucing ini memerlukan tuan baru.


Cici










Cici akan dimandulkan sedikit masa lagi dan yuran pemandulan akan disubsidikan oleh SCRATCH.

Rescuernya berharap ada individu dapat adopt ketiga-tiganya sekali dan setuju memandulkan anak-anak kucing ini apabila tiba usia matang nanti.

Sekiranya berminat dan serius untuk adopt Cici dan anak-anaknya, hubungi Huda Ismail - nurhudaism@gmail.com

Sunday, January 29, 2012

RIP, Ah Wong....

Ah Wong telah di bawa pulang oleh Bin Chew pada 18 Jan 2012 untuk rawatan di rumah. Ketumbuhan di bahagian kepalanya semakin membesar dari hari ke hari. Malah, terdapat benjolan-benjolan baru mula terbentuk dibahagian telinga. Kemungkinan kanser.

Sebelum ini, terdapat 2 benjolan nanah (abscess) yang telah dibuang dan dikeringkan dalam 2 sesi rawatan berasingan. Pertama di bahagian belakang leher, dan kedua di bahagian dada. 2 minggu kemudian, benjolan-benjolan baru mula terbentuk dan ketumbuhan di kepala menjadi semakin besar. Ujian doktor mengesahkan Ah Wong FIV dan FeLV positif. Jadi kemungkinan besar, ketumbuhan di kepala Ah Wong adalah manifestasi penyakit FIV dan FeLV yang dihidapinya.

Pembedahan untuk membuang ketumbuhan di kepala Ah Wong adalah hampir MUSTAHIL memandangkan FIV dan FeLV berada pada tahap yang serius dan status kesihatannya yang merosot dan berada pada tahap membimbangkan. Vet ada menyarankan agar Ah Wong 'direhatkan'. Tapi Bin Chew masih mahu mencuba demi Ah Wong.

Keadaan Ah Wong nampak tenat. Tapi Ah Wong sentiasa bertindak balas bila namanya dipanggil dan menghabiskan makanan yang dihidangkan.

Bin Chew ada menghantar email kepada kami pada 18 Jan 2012 bersama gambar-gambar Ah Wong. Melihat keadaan seperti itu, masih adakah harapan untuk Ah Wong sembuh???


13 Jan 2012


14 Jan 2012


19 Jan 2012 - Ketumbuhan di kepala semakin membesar


Ketumbuhan di kepala Ah Wong


Benjolan-benjolan baru di belakang telinga


Luka pada kaki yang tak sembuh-sembuh


Kita hanya mampu simpati dan bersedih melihat gambar-gambar Ah Wong, tapi kesakitan yang di alaminya hanya dirinya dan Tuhan saja yang tahu......

Ah Wong telah pergi buat selamanya pada tengahari terakhir Tahun Arnab.

Tiada lagi kesakitan dan penderitaan untuk Ah Wong.

Mengenangkan Ah Wong, kami sentiasa berdoa agar tiada lagi pemilik kucing membuang kucing-kucing mereka di jalanan. Kucing-kucing ini terdedah kepada bahaya dan penyakit. Entah berapa banyak kucing-kucing di luar sana menerima nasib malang seperti Ah Wong. Kami merayu agar semua pemilik kucing memandulkan kucing mereka bagi mengelakkan pergaduhan semasa musim mengawan dan berebut kawasan. Dan kami merayu pemilik kucing mengvaksinkan kucing masing-masing supaya terhindar dari virus-virus dan penyakit yang biasa menyerang kucing yang dibiarkan merayau-rayau di luar sana.

Nasib Ah Wong bertuah. Sekurang-kurangnya Ah Wong sempat merasa kasih sayang dan perhatian manusia meskipun sekejap. Dan tak semua manusia yang berhati mulia seperti Bin Chew kerana sanggup bersusah payah demi Ah Wong. Kos rawatan Ah Wong yang berjumlah RM1 ribu lebih di biayai sendiri oleh Bin Chew menggunakan hasil jualan amal produk Silvervine. Dana yang kami peruntukkan untuk Ah Wong akan digunakan untuk membiayai bil perubatan dan pemandulan kucing-kucing jalanan di luar sana.

Berehatlah, Ah Wong....
Tiada lagi perjalanan yang meletihkan dan menyakitkan buatmu......




Beautiful tribute for Ah Wong..
Thanks, Bina for being a good feeder and rescuer....

Love, SCRATCH.

Wednesday, January 18, 2012

Kucing Saya Semakin Botak!

Ada tak di kalangan anda yang mempunyai kucing yang gebu ketika kecil, tetapi kemudian menjadi semakin botak di sesetengah bahagian badan apabila meningkat dewasa?




Sesetengah kucing memang dilahirkan semulajadi botak. Contohnya Sphinx.



Kucing Sphinx - Foto sumber dari Google


Tapi sekiranya kucing anda yang sepatutnya berbulu menjadi botak, ini TIDAK NORMAL.


Kebotakan atau keguguran bulu berlebihan disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya:

a) Psychogenic Alopecia Syndrome, iaitu keguguran bulu akibat tekanan (stress) dan kebosanan (boredom)

b) Kutu. Hama, alergi kulit atau penyakit kulit lain yang menyebabkan kegatalan dan aktiviti menggaru dan menjilat bulu secara berlebihan berlebihan.

c) Kekurangan Zat Nutrisi Makanan

d) Tanda-tanda penyakit contohnya jangkitan pundi kencing (Bladder Infection).



Apa itu Psychogenic Alopecia Syndrome?

Psychogenic Alopecia adalah terma yang digunakan untuk keguguran bulu berlebihan akibat tekanan psikologi (psychological stresses). Tanpa kita sedari, haiwan mudah terdedah kepada tekanan dan kebosanan. Tekanan dan kebosanan menyebabkan haiwan kesayangan kita banyak menghabiskan masa berdandan dan membersihkan bulu secara berlebihan.




Antara penyebab-penyebab tekanan yang sering dikenalpasti ke atas kucing-kucing belaan:

  • Berpindah ke rumah/bilik/sangkar baru



  • Kematian atau kehilangan kucing sepermainan



  • Kematian atau kehilagan ahli keluarga pemilik kucing



  • Kehadiran kucing baru



  • Kehadiran individu baru dalam keluarga pemilik kucing



  • Tekanan yang di hadapi oleh pemilik kucing seperti kehilangan pekerjaan, baru berpindah tempat kerja baru, kehilangan orang yang tersayang boleh memberi kesan kepada 'mood' pemilik kucing dan memberi impak kepada kekerapan pemilik kucing berada di rumah untuk meluang masa bersama haiwan-haiwan kesayangan.



Kebosanan mudah menyerang kucing-kucing yang dibela bersendirian tanpa kucing lain sebagai teman bermain, tiada permainan (toys) untuk menggalakkan mereka bermain ataupun sering ditinggalkan bersendirian dan kurang mendapat perhatian daripada pemilik masing-masing.


Psychogenic Alopecia dikesan dengan kehilangan bulu bermula pada bahagian perut, dan merebak ke bahagian peha dan pangkal ekor. Ada sesetengah kes, bulu akan terus hilang pada bahagian belakang badan.

Masalah ini tidak akan menjejaskan kesihatan kucing anda dari sudut negatif. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi mendapatkan pemeriksaan veterinar atau doktor haiwan bagi mengenalpasti punca-punca keguguran bulu pada kucing anda.

Sekiranya Psychogenic Alopecia adalah punca keguguran bulu pada kucing anda, anda boleh mengurangkan tekanan dan kebosanan kucing anda dengan meluangkan lebih banyak masa untuk bermain bersama, bergurau dan bermanja. Fikirkan jenis permainan yang kreatif yang boleh dimainkan bersama dan sentiasa mengubah jenis permainan supaya kucing anda tidak cepat bosan.


Kegatalan kulit kepada kucing

Kegatalan pada kulit juga membuatkan kucing menggaru dan menjilat bulu secara berlebihan sekaligus menyebabkan kebotakan dan keguguran bulu. Pastikan kucing-kucing anda mendapat rawatan nyahkutu secara berkala.
Kebiasannya, keguguran bulu boleh disebabkan oleh serangga seperti kutu dan hama, jangkitan fungus/kulat. Sekiranya terdapat tanda-tanda tidak normal pada bulu dan kulit kucing anda seperti kemerahan, bengkak, luka, lebam, bersisik, berkeruping dan sebagainya, segera ke doktor haiwan untuk pemeriksaan dan rawatan.

Sekali sekala, mandikan kucing anda dengan air suam dan syampu yang dikhaskan untuk kucing. Selain daripada menjaga kebersihan kucing anda, mandi boleh membuang hama-hama penyebab alergi yang terlekat pada bulu kucing.


Kekurangan nutrisi

Semakin lanjut usia kucing, semakin banyak bulu yang akan gugur daripada badan kucing tersebut. Kulit akan menjadi kering dan tumbuh semula berlainan warna. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kekurangan zat/nutrisi makanan (Nutritional Deficits). Apabila kucing menjadi semakin berusia, keperluan zat dan makanan turut berubah di mana kucing-kucing ini memerlukan nutrisi tambahan dalam makanan mereka.
Berikan makanan yang berkhasiat. Anda juga boleh memberikan makanan tambahan seperti vitamin kepada kucing-kucing yang berusia ini.


Kebotakan mungkin petanda kepada penyakit lain

Kucing yang mengidap jangkitan pundi kencing (Bladder Infection) akan menjilat dan membersihkan bahagian perut secara berlebihan kerana rasa tidak selesa pada bahagian tersebut.

Adalah sangat penting mengenalpasti punca-punca kebotakan dan keguguran bulu pada haiwan kesayangan anda. Dapatkan nasihat dari doktor haiwan bertauliah dan dapatkan rawatan segera sekiranya perlu.

Sunday, January 15, 2012

Pengkasian & Pemandulan

Kenapa saya perlu mengkasikan/memandulkan haiwan peliharaan saya?

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, setiap hari lebih kurang 70,000 ekor anjing dan kucing dilahirkan. Tetapi cuma sebahagian sahaja daripada jumlah tersebut yang mendapat penjagaan dan perlindungan dari keluarga yang penyayang. Berdasarkan statistik juga, 4 sehingga 6 juta kucing dan anjing di-PTS (put to sleep) kerana tiada tempat untuk mereka di pusat-pusat perlindungan haiwan.

Seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat, begitulah juga keadaannya di Malaysia. Lebih menyayatkan hati apabila haiwan-haiwan jalanan diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh manusia-manusia durjana kemudian tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya. Di Malaysia, penderaan dan penyeksaan haiwan tidak dipandang serius di negara kita. Ini kerana walaupun setelah 54 tahun kita merdeka, Akta Haiwan 1953 masih diguna pakai. Akta Haiwan 1953 menyatakan pesalah laku jenayah terhadap haiwan akan dikenakan hukuman denda maksimum berjumlah RM200 atau penjara tidak melebihi 6 bulan.



Justeru itu, pengkasian atau pemandulan kucing dan anjing adalah langkah yang terbaik untuk mengurangkan pembuangan kucing dan anjing yang berleluasa, secara tidak langsung mengelakkan haiwan-haiwan ini daripada menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan.



Persepsi dan tanggapan streotaip pemilik haiwan peliharaan dan penjelasan:

Masih ada umat Islam yang ragu-ragu untuk memandulkan haiwan kesayangan mereka. Antara sebab dan alasan yang diberikan adalah seperti takut berdosa menyekat nafsu haiwan tersebut, takut menganiaya naluri haiwan kesayangan mereka, takut sekiranya ia menyakitkan haiwan peliharaan mereka, dan sebagainya.

Jika begitu, bagaimana pula dengan dosa membuang anak-anak kucing yang masih kecil ke jalanan? Dicampak? Dibuang di dalam karung guni? Kemudian sekiranya mereka menjadi mangsa lenyekan tayar kereta? Dan lebih buruk, menjadi mangsa pijak,tendang dan pukul manusia yang tidak berperikemanusiaan? Fikirkan.

Di sini dipetik dari hujah Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin(anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi) :

Maksudnya: “Adapun mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahah, akan tetapi mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.” (Liqa al-Bab al-Maftuh 15/37).

Kemudian beliau menyentuh tentang pengkasian/pemandulan kucing:

Maksudnya: “Jika kucing itu banyak (jumlahnya) dan menyusahkan, dan proses mengkasinya tidak memudharatkannya, tidak mengapa, kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik dari membunuhnya selepas ia Allah menciptakannya.. adapun jika jumlah kucing itu tidak banyak (jumlah yang biasa) dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan dia berkembang (membiak) itu adalah lebih baik.” (Fatawa Islamiyah 4/448)


Selain daripada itu beliau yang juga pakar dalam ilmu fiqh menjelaskan "Jika pembedahan tersebut tidak mencederakan binatang maka tidaklah ia di halang, kerana sesungguhnya lebih aula (baik) dari membunuh binatang tersebut setelah ia tercipta".

Jakim juga ada mengeluarkan satu ketetapan pada tahun 2002 yang menyatakan : Bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah.

Maka dengan sokongan ketetapan dari Jakim dan penyataan yang dikeluarkan oleh anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, sudah jelas di sini bahawa memandulkan atau mengkasikan haiwan peliharaan tidak salah atas sebab untuk memberi kemudahan kepada pemilik haiwan menguruskan haiwan peliharaan tersebut asalkan cara yang digunakan tidak menyakitkan serta memudaratkannya.


Kelebihan memandulkan haiwan peliharaan:

Terdapat tiga golongan yang mendapat kebaikan daripada pemandulan/pengkasian haiwan peliharaan, iaitu pemilik haiwan, haiwan peliharaan dan komuniti setempat.


Kebaikan kepada pemilik haiwan:

- ♦ Haiwan peliharaan yang dikasi/dimandulkan menjadi lebih manja

- ♦ Kucing jantan yang dikasikan akan kurang kencing memancut merata-rata.

- ♦ Haiwan yang telah dikasi/dimandulkan akan kurang menggigit dan agresif.

Kebaikan kepada haiwan peliharaan:

- ♦ Haiwan peliharaan yang dikasikan/dimandulkan hidup lebih sihat tanpa risiko kanser prostat dan ovari, dijangkiti penyakit kelamin dan kanser payudara.

- ♦ Haiwan peliharaan yang dikasi akan kurang keluar merayau keluar rumah dan bergaduh dengan kucing-kucing lain.

Kebaikan kepada komuniti sekitar:

- ♦ kebersihan dikawasan kejiranan lebih terjamin kerana pembiakan kucing/anjing yang terkawal.

- ♦ Pusat perlindungan haiwan terbiar akan lebih terurus dan akhirnya tiada haiwan yang perlu di-PTS kerana kekurangan ruang untuk mereka di pusat perlindungan haiwan tersebut.



Apa itu ‘spay’ & ‘neuter’?

‘Spay’ adalah terma lain untuk pemandulan dimana ia melibatkan pembedahan untuk membuang organ pembiakan haiwan peliharaan betina seperti uterus, tiub falapio dan ovari.

‘Neuter’ pula adalah terma lain untuk pengkasian dimana pembedahan dilakukan untuk membuang organ testikel bagi haiwan peliharaan jantan.


Bila usia yang sesuai untuk memandulkan/mengkasikan haiwan peliharaan?

Kucing dan anjing boleh dimandulkan/dikasikan seawal usia 6 bulan. Ada beberapa buah tempat yang menjalankan pengkasian seawall usia 4 bulan, tetapi waktu yang paling sesuai ialah 6 bulan.

Bagaimana ‘spay’ dan ‘neuter’ dilakukan?

Kucing dan anjing boleh dikasi/dimandulkan seawall usia 6 bulan. Haiwan-haiwan ini akan melalui pembedahan setelah diberi suntikan pelalian(anestetik).

‘Spaying’ (pemandulan)kucing betina:

  1. Kucing akan diberi pelali atau anestetik dan dibiarkan supaya tidak sedarkan diri. Kemudian kucing tersebut akan dibaringkan menelentang untuk mendedahkan perut dimana belahan akan dibuat.
  2. Setelah itu belahan akan dibuat pada bahagian yang dipanggil ‘linea alba’ dimana kurang pendarahan berlaku kerana tiada saluran darah dan saraf dikawasan tersebut. Terlebih dahulu, bius disuntik pada kawasan yang akan dibelah.
  3. Selepas belahan dibuat, organ peranakan yang dikenali sebagai ‘uterus horn’ (terdiri daripada ovary dan sebahagian tiub fallapio) dicari kemudian diikat dan dipotong
  4. Apabila sudah diikat dan dipotong, belahan yang terbuka tadi dijahit semula.


‘Neutering’ (pengkasian)kucing jantan:

  1. Sepertimana kucing betina, kucing jantan juga diberi pelali dan dibiarkan supaya tidak sedarkan diri. Bius juga disuntik terlebih dahulu.
  2. Kemudian skrotum di cukur dan dibersihkan dengan alkohol.
  3. Setelah dicukur dan dibersihkan, skrotum akan dibelah untuk mengeluarkan testikel.
  4. Selepas itu spermatic chord diikat kemudian testikel akan dipotong dan dipisahkan daripada spermatic chord. Langkah ini dilakukan pada kedua-dua belah testikel.
  5. Selesai dipotong kulit skrotum yang dibelah tadi akan ditutup semula.

Sebelum haiwan peliharaan anda melalui proses pemandulan/pengkasian ini, anda terlebih dahulu dinasihatkan supaya:

  1. Memvaksinkan mereka sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dioperasi.
  2. Haiwan peliharaan tersebut mestilah dipuasakan 12 jam tanpa makanan dan diletakkan di dalam sangkar atau di dalam rumah. Hanya air sahaja boleh diberi kepada haiwan tersebut.

Selepas haiwan peliharaan melalui proses pemandulan/pengkasian, haiwan tersebut hendaklah:

  1. Dipantau supaya tidak menjilat bahagian yang telah dijahit. Ini kerana air liur haiwan mempunyai banyak bacteria dan kuman. Apabila bahagian yang dijahit dijilat, ia boleh mengakibatkan jangkitan dan nanah pada bahagian tersebut.
  2. Dijaga supaya tidak terlalu aktif seperti belari, memanjat, melompat selama 10 hingga 14 hari selepas pembedahan. Haiwan peliharaan yang baru dimandulkan perlu dipantau aktivitinya selalu dan diletakkan didalam rumah sepanjang tempoh pemulihan. Aktiviti yang agressif boleh menghalang proses pemulihannya.
  3. Jangan mandikan haiwan tersebut sepanjang tempoh pemulihan iaitu 10 hingga 14 hari selepas pembedahan.


SOALAN LAZIM:

  1. Kucing akan menjadi gemuk dan obes selepas pemandulan?

Jawapan: Semuanya bergantung kepada pemakanan dan senaman. Kawal pemakanan kucing anda dan berikan ia permainan yang boleh menggalakkan dia melakukan aktiviti-aktiviti terkawal seperti bermain sembunyi, menangkap dan sebagainya.

  1. Adakah kucing akan berhenti ‘memancut’ setelah dikasikan?

Jawapan: Ia tidak akan serta merta berhenti memancut, tetapi lama-kelamaan dia akan kurang berbuat demikian. Jika ia terus memancut dengan kerap, kemungkinan kucing tersebut mempunyai masalah yang lain(sikap atau sebagainya).


Pemandulan dan pengkasian melibatkan proses pembedahan yang mudah dan ringkas. Ia tidak menyeksa haiwan kesayangan malah sebaliknya,ia memberi banyak manfaat kepada pemilik haiwan, haiwan itu sendiri dan komuniti sekitarnya. Oleh itu diharap dengan penjelasan yang diberi ramai pemilik haiwan yang bertanggungjawab mengkasi/memandulkan haiwan mereka dengan segera.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi mana-mana doctor veterinar yang berdekatan.


Disediakan Oleh : Zetty Abdillah

Sumber:

http://just-catz.blogspot.com/2010/08/pandangan-ulama-muktabar-tentang-hukum.html

http://www.hishammarmin.com/2011/02/hukum-mandulkan-kucing.html

http://www.doghause.com/spay.asp

http://hidayatmy.blogspot.com/2011/07/pengkasian-kucing-jantan-castration.html

http://hidayatmy.blogspot.com/2011/07/video-pengkasian-kucing-betina-spaying.html

http://willamettehumane.org/animal/shelter/clinic/post-operative_instructions/