Thursday, September 5, 2013

Volunteer Work At Furry Friends Farm: A Collaboration Between SCRATCH and Kolej Teknologi Timur Students

Hi Kawan-Kawan, 

Kawasan perlidungan untuk kucing (cattery area)
Entry kali ini, kami nak kongsi kan cerita kerja amal yang berlangsung pada hujung minggu lepas. Sekitar bulan June yang lalu, pihak SCRATCH telah dihubungi oleh kumpulan pelajar dari Kolej Teknologi Timur, Sepang, yang diketuai oleh saudari Suhaida. Suhaida ingin menjalankan kerja amal bersama pihak SCRATCH  tetapi memandangkan kami tidak mempunyai rumah perlindungan haiwan, maka kesepakatan dicapai untuk membantu Furry Friends Farm atau singkatannya FFF. FFF menempatkan haiwan terbiar seperti anjing, kucing dan juga arnab. Oh tidak lupa juga dengan Rajoo si kambing yang berperangai unik. Rajoo tidak begitu berminat dengan rumput tetapi lebih gemar makan makanan kering anjing dan dia tidak kisah berkongsi bekas makanan yang sama. Di FFF, mereka mempunya lebih dari seratus ekor kucing dan hampir 200 ekor anjing yang dibuang, dianiaya dan yang diselamatkan dari jalanan. walau bagaimanapun, haiwan haiwan ini dipisahkan dan diklasifikasikan mengikut sifat dan kelakuan mereka. Bagi haiwan yang  sakit, mereka diasingkan di 'sick-bay' bagi memudahkan penyakit dibendung serta diubati. 


Kawasan ruang-lepas untuk anjing yang sihat 
Kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan FFF, Georgie sebagai Pengurus utama di sana, kerana bersetuju membenarkan kami datang membantu. Seramai 15 orang pelajar dan 5 orang sukarelawan SCRATCH telah datang memeriahkan aktiviti ini. Menurut Georgie, FFF hanya dibuka pada jam 10 pagi untuk sukarelawan membantu dan kami perlu berhenti pada, atau sebelum jam 4 petang. Pada awal pagi, haiwan haiwan ini akan diberi makan kemudian bagi haiwan yang sakit mereka akan menerima rawatan atau  diberi ubatan. Selepas jam 4 petang, haiwan haiwan ini sekali lagi akan diberi makan dan ubatan bagi yang sakit. Maka kehadiran sukarelawan pada ketika masa tersebut agak tidak sesuai. 


Georgie memberi tugasan kepada sukarelawan
Pada sekitar jam 10 pagi 15 pelajar dari Kolej Teknologi Timur, berserta pegawai pengiring mereka sampai dan 2 orang sukarelawan SCRATCH telah bersiap sedia di lokasi. Percaya atau tidak, jalan untuk sampai ke FFF sebenarnya adalah mudah tetapi tidak untuk mereka yang pertama kali ke sana. 3 orang sukarelawan SCRATCH  lewat gara gara sesat dalam perjalan. Mujur mereka tidak sampai ke Pulau Pinang! 

Georgie memulakan aktiviti kerja amal ini dengan memberi penerangan ringkas tentang perjalan rutin harian di rumah perlindungan haiwan ini. 15 pelajar ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka diberikan tugasan membersihkan kandang kucing (cattery), kawasan kawanan anjing dan kawasan sick-bay. 


kawasan sick-bay untuk anjing yang sakit

gambar di sebelah adalah kawasan sick-bay. di sini menempatkan anjing yang sakit dan juga berfungsi sebagai tempat penyimpanan makanan. Georgie amat memahami sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya kaum Melayu. Dia tidak memaksa mana mana sukarelawan untuk masuk ke kawasan anjing. Tetapi ada juga adik adik dari KTT yang memberani kan diri, untuk membantu Georgie di kawasan 'rumah-sakit' anjing. Kami meminta pembaca agar tidak menjatuhkan sebarang hukum kepada adik adik yang membantu anjing terbiar di rumah perlidungan haiwan ini. Ini kerana mereka berniat hanya membantu menguruskan, membersihkan kawasan serta membersihkan anjing yang sakit. 

Pihak sukarelawan SCRATCH juga ingin menyampaikan rasa bangga dengan beberapa orang pelajar KTT yang pada awalnya agak takut untuk membantu di kawasan perlidungan anjing tetapi berubah fikiran selepas diyakinkan dengan beberapa perkara. Sekali lagi kami ingin kongsikan bahawasanya, memegang anjing itu tidak haram lebih lebih lagi dengan niat untuk membantu sesama makhluk (bacaan di sini, sini dan juga sini malahan banyak lagi). Haram yang nyata adalah memakan daging atau apa saja yang berkaitan dengan anjing. perselisihan juga timbul dalam hal pemeliharaan anjing. Tetapi adik adik ini tidak memelihara anjing, mereka cuma datang, bantu dan meraih pengalaman. 

Ada di antara mereka ini yang pertama kali dapat mendekati anjing setelah 21 tahun hidup di muka bumi. Kami merasakan itu pasti pengalaman yang baik untuk mereka. Setelah ditanya, mereka berpendapat, apa yang mereka dengar tentang anjing selama ini adalah bersalahan dengan apa yang mereka lihat dan alami sendiri di FFF ini. Kami sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada 6 orang pelajar yang membantu di kawasan perlidungan anjing. 

Sukarelawan KTT bersama Georgie
Menghampiri jam 4 petang, semua sukarelawan baik dari KTT mahupun dari pihak SCRATCH sendiri menyudahkan kerja kerja kami. Pelajar-pelajar yang bekerja di bahagian anjing terlebih dahulu menyertu tangan, kaki dan kawasan yang terkena anjing (atau air liurnya) serta mereka menukar baju yang lain. Sesungguhnya Islam itu indah (dengan membenarkan kita membantu ke arah kebaikan) dan Islam itu mudah (dengan menyediakan cara untuk umatnya melakukan kebaikan). Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna kita boleh mengambil mudah! Setelah semuanya sedia berkumpul, Gerogie sekali lagi memberi taklimat penyudah dan mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan. Komen dari sukarelawan?? Mereka mendapat satu pelajaran sangat bernilai tentang kehidupan dari haiwan yang tinggal di rumah perlidungan ini. 

Di pihak SCRATCH, kami amat mengalu alukan sekiranya ada kumpulan kumpulan atau kelab kelab di Institusi Pengajian Tinggi yang ingin datang membantu pihak pengurusan Furry Friends Farm. Bantuan dari segi tenaga amat amat diperlukan kerana ketika ini mereka sedang membaik pulih serta menambah baik bahagian rumah perlindungan kucing. 

Derma, bantuan kewangan serta bantuan makanan untuk haiwan yang berlindung di sini juga sangat sangat diperlukan. Mengurus lebih dari 300 haiwan bukan suatu perkara yang mudah. Kami mengajak adik adik di IPT untuk mengambil masa tidak sampai pun sehari membantu di FFF. Kami yakin adik adik pelajar di menara gading akan memperolehi pengalaman yang  tidak mungkin boleh dipelajari di dalam kelas. 

Sekiranya berminat, Furry Friends Farm boleh dihubungi secara terus melalui laman facebook mereka di sini, ye, tekan di situ. Atau boleh hubungi SCRATCHers di scratch.event@gmail.com dan kami akan uruskan bagi pihak anda. Fokus kami adalah pelajar pelajar sekolah ataupun pelajar di institusi pengajian tinggi (maktab, kolej, kolej uni ataupun universiti) tetapi tidak mengehadkan penyertaan. 

Okay itu sahaja cerita untuk kali ini. Oh dengar khabar SCRATCH akan membuat program 'adoption drive' di Putrajaya! Ada banyak anak kucing dan kucing dewasa yang gebu untuk dijadikan ahli keluarga baru. Nantikan berita serta update event ini di laman facebook kami di sini, ye tekan di situ~!

-Encik Memerangemok-

1 comment:

  1. sy xde masa untuk bantu haiwan2 di pusat perlindungan.. hanya mampu haiwan2 jalanan yg sy terjumpa di pasar and belakang umah..

    looking forward untuk ke pusat perlindungan plak..

    insyaAllah.

    ReplyDelete