Thursday, August 7, 2014

Ihsan dan Perikemanusian Yang Hilang

Assalammulaikum kawan kawan,
Hari ni kami nak kongsikan cerita sedih dan sadis. Di sebalik laungan kemanusiaan yang sekarang heboh dipekikan, ada juga manusia yang mendiamkan kekejaman kepada haiwan yang tidak bersuara ini.

Lynn merupakan feeder dan core volunteer kami. Tengah malam semalam Lynn pergi ke feeding area untuk member makan kepada kucing jalanan tetapi sampai agak lewat dari kebiasaan. Sesampainya di tempat kedua feeding area, Lynn ternampak seekor kucing terbaring di atas garisan kuning dibahu jalan raya. Tidur barangkali? Mana mungkin tidur dalam keadaan hujan rintik rintik? Tanggapan buruk yang berlegar di kepala rupa-rupanya adalah kenyataan pahit iaitu kucing yang disangka tidur itu sebenarnya telah kembali ke Penciptanya dengan darah yang masih pekat meleleh tanda baru dilanggar. Kucing jantan hitam dengan tompok putih, berbadan besar terbaring kaku dilanggar oleh manusia yang biasanya begitu lantang melaungkan perihal kemanusiaan. Dengan apa yang ada di dalam kereta, Lynn membungkus badan kaku tadi dan diletakkan di tepi kaki lima supaya tidak kebasahan dan kemudiannya boleh ditanam selepas selesai member makanan di semua feeding spots.

Berpindah ke feeding spot yang ketiga, Lynn ternampak satu tompokan hitam di tengah tengah jalan raya. Jalan sehala, dua lorong merupakan tempat yang paling baik untuk kereta mahupun motor dipandu laju tanpa perlu menghiraukan hidupan yang lalu lalang. Jangan kan kucing, manusia pun pasti tidak terlepas dari risiko untuk dilanggar. Lynn melintas menyeberang jalan tersebut untuk memberi makan seekor kucing feral yang lain dan ketika itulah dia perasan tompokan hitam itu adalah anak kucing tortoiseshell berumur lebih kurang 4 bulan terbaring. Lynn tidak berlengah meluru ke arah anak kucing tersebut dengan sangkaan pastilah anak kucing tersebut telah pun mati dilanggar. Namun mungkin kerana tahu ada orang yang mahu menyelamatkannya, anak kucing tersebut mengangkat kepala nya. Hidup lagi!! Tetapi kereta sangat laju dan tidak ada pun yang mahu berhenti memberi peluang kepada Lynn untuk mengangkat anak kucing tersebut. Banyak kereta hanya mengelak dari melanggar anak kucing tersebut dan sekiranya anak kucing itu bergerak sedikit sudah pasti dia akan bersemadi di atas jalan raya tersebut.

Tidak menghiraukan keselamatan dirinya Lynn menyambar anak kucing itu tetapi oleh kerana post trauma dilanggar, anak kucing tersebut menggelupur ketakutan tidak tentu arah. Darah bersemburan keluar dari mulut dan hidungnya. Hampir pasti, ada kecederaan dalaman cuma tidak tahu tahap kerseriusannya. Keinginan untuk hidup yang tinggi memberi semangat kepada Lynn yang ketika itu sangat panik untuk membawa anak kucing tersebut ke Vet. Ketika itu jam sudah pun menunjukkan pukul 11 malam. Hanya beberapa Vet sahaja yang menerima kes emergency seperti ini tetapi kos rawatan tambahan (surcharge) adalah sangat mahal. Terima kasih kepada Kak Nana dan Saudara Jimmy yang membantu Lynn mendahulukan deposit rawatan anak kucing ini di Gasing Vet Hospital.

Anak kucing ini telah menerima rawatan yang extensive dan buat masa ini dalam keadaan stabil. Pihak SCRACTH telah bersetuju untuk memberi bantuan  kewangan 100% kepada Lynn memandangkan kesungguhannya untuk menyelamatkan anak kucing malang ini.


Kami kongsikan juga gambar anak kucing yang dilanggar tanpa perikemanusiaan. Lihat bagaimana darah yang keluar menitis dari mulutnya. Ngeri?? Sakit?? Kami yakin pasti ramai yang tidak sanggup melihat gambar ini tapi ini adalah kenyataan. Kami yakin ada antara kawan kawan yang akan menyuruh kami jangan upload gambar sebegini, tidak sampai hati nak tengok. Tapi sampaikah hati kita mendiamkan apa yang terjadi kepada anak kucing kecil sebegini?  Mampukah kita menutup mata berpura pura ini semua tidak berlaku?


Kami kongsi kan cerita dan gambar ini bukan mahu meraih simpati tapi kami ingin membuka minda kawan kawan bahawasanya ini adalah kenyataan yang berlaku. Anak kucing ini bertuah kerana berjumpa dengan Lynn. Lynn meletakkan kepentingan dirinya terkemudian dengan mendahulukan keselamatan dan rawatan anak kucing ini. Berapa ramai antara kita yang sanggup berbuat sedemikian? Berapa ramai antara kita yang mendabik dada bercerita tentang hal hal kemanusian, membaca ayat-ayat Quran menceritakan kesempurnaan penciptaan manusia tetapi gagal berlaku adil kepada haiwan yang dalam kesakitan dan memerlukan bantuan?  Mengapa kita manusia selalu merasakan species kita yang paling berhak hidup di mukabumi ini sehingga  mengabaikan kebajikan haiwan jalanan yang dianggap menumpang? Mengapakah kita tidak boleh berlaku ihsan kepada mereka? Dalam kes ini mungkin si pemandu tidak sengaja terlanggar anak kucing ini. Setidak-tidaknya apa yang boleh dia lakukan adalah sama ada letak di tepi supaya tidak berkali kali dilanggar ataupun bawalah ke clinic veterinary untuk rawatan. Begitu lokek dan bakhil kita dengan haiwan jalanan seolah olah kita akan miskin untuk membantu mereka dan kita masih boleh mendabik dada manusialah khalifah/pemimpin di mukabumi ini?



Kami ingin mohon  kawan kawan untuk bantu kami dengan mengubah sikap dan pandangan terhadap haiwan jalanan. Mereka juga punyai hak di atas muka bumi ini. Betul mereka tidak bersuara sama seperti kita tetapi biarlah kita menjadi suara untuk mereka. Jadilah insan yang pertimbangan dan ihsan. Jangan bakhil memberi bantuan kepada haiwan jalanan yang memerlukan. Bertimbangrasa dalam setiap perbuatan itu termasuklah ketika memandu. 

-Encik MemeranGemok-

3 comments:

  1. 1 syawal aritu otw nak gi masjid,tgh jln ada anak kucin masih hidup dan ketakutan...so saya bt u turn nak selamatkan dia...bkn jauh pun saya berenti,xsmpi 5min pun...tgok2 dah mati...sian anak bulus....saya angkat dan letakkan bawah pokok...terus memandu ke masjid sambil berlinang airmata.....

    ReplyDelete
  2. Saya salute Lynn dan telah saya ceritakan serba sedikit di dalam Facebook page saya. Maaf ya guna gambar kucing ni di Facebook page saya tanpa bagitahu awal-awal. Kalau ada kucing terbiar yang memerlukan rumah, jangan malu-malu untuk hubungi saya di Facebook. Saya akan post kannya di sana. Last sekali kalau ada video-video comel yang ingin dikogsikan dengan peminat kucing, boleh juga dihantarkan kepada saya untuk dikongsikan di laman saya. :)

    ReplyDelete